Awal pagi tadi, Arsenal menerima tamparan hebat selepas tersingkir di peringkat suku akhir Piala Capital One oleh kelab dari Liga Dua, Bradford City.
Selepas terikat 1-1, perlawanan terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti dan kegagalan Santi Cazorla, Maruoane Chamakh dan Thomas Vermaelen menyempurnakan sepakan tersebut menyebabkan The Gunners terlepas satu dari piala yang disasarkan mereka musim ini.

United diberitakan akan membuat tawaran sensasi bagi membawa keluar bintang antarabangsa England itu dari Stadium Emirates. Selepas membayar 24 juta Pound ke atas Van Persie, Sir Alex Ferguson dijangka melakukan perkara yang sama sekali lagi, kali ini untuk Walcott pula.
Diberitakan United juga sudah bersedia memenuhi permintaan gaji sebanyak 100 ribu Pound seminggu yang dibuat Walcott. Van Persie juga dikhabarkan memainkan peranan dalam memujuk Sir Alex supaya menandatangani bekas rakan sepasukannya di Emirates itu selepas Walcott secara terbuka meluahkan rasa kecewa dengan prestasi semasa The Gunners.
Walcott baru-baru ini juga sudah menolak tawaran gaji sebanyak 75 ribu Pound seminggu yang dibuat pihak pengurusan Arsenal dan situasi ini boleh digunakan Sir Alex untuk memancing Walcott ke Old Trafford.
Selepas menyaksikan suksesnya Van Persie bersama-sama United, faktor ini dilihat boleh mendorong pemain itu untuk mengikut jejak langkah bekas kaptennya itu dengan menjadi sebahagian dari anggota The Red Devils. Dengan masalah prestasi yang dihadapi Ashley Young dan Nani, Walcott dilihat adalah jalan penyelesaian terbaik buat Sir Alex dan bos United itu mungkin boleh memikirkan untuk melakukan perjanjian pertukaran membabitkan kedua-dua pemain sayap itu (Nani dan Walcott) pada jendela perpindahan pemain Januari ini.
Persoalannya sekarang adakah Arsene Wenger sedia kehilangan seorang lagi tonggak utama pasukannya kepada United selepas Van Persie, sekaligus membantu seteru utamanya itu meningkatkan lagi kekuatan mereka musim ini?
-BMU6-