We design a professional website for you in just 7 Days!

Followers

CHURP-CHURP

EZYTOPUP

Tuesday, November 6, 2012

VAN PERSIE SETARAF DENGAN NISTELROOY?



Robin Van Persie seperti yang sudah kita ketahui, menyumbang satu lagi gol ketika United membenam Arsenal, Sabtu lalu. Biarpun baru menyertai United, Ogos lalu, Van Persie membuktikan dia adalah penyerang kelas dunia dan tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan barunya.


Lapan tahun bersama The Gunners, Van Persie membuktikan kualiti sebenar dirinya dan pengalaman yang dikutip dari penyerang-penyerang hebat yang pernah bermain untuk Arsenal seperti Thierry Henry dan Dennis Bergkamp menjadikan Van Persie antara penyerang terbaik di dunia ketika ini. Jadi tidak hairanlah jika Van Persie yang kini sudah berusia 29 tahun dikecualikan dari polisi yang pernah ditetapkan Sir Alex Ferguson sendiri untuk tidak menawarkan kontrak jangka panjang kepada pemain yang sudah berusia. Arsene Wenger juga faham, mengapa United begitu bersungguh-sungguh mahu membawa Van Persie ke Old Trafford selepas mengetahui pemain itu menolak tawaran kontrak baru untuk terus kekal di Emirates.

Semuanya hanyalah kerana satu sebab, Van Persie adalah penyerang kelas dunia yang punya naluri pemusnah cukup menggerunkan dan menjadi aset berharga buat mana-mana pasukan yang diwakilinya. Bukan saja bertindak sebagai penyerang tengah, Van Persie juga sering bergerak di sebelah kiri dan kanan pertahanan lawan untuk mencari ruang menjaringkan gol di samping bertindak membuka peluang buat rakan sepasukan yang lain. Peranan seperti itu kerap dimainkannya ketika masih bersama Arsenal dan kini dipamerkannya pula bersama United.

Van Persie juga mempunyai kepakaran dalam mengambil sepakan percuma dan itu merupakan kualiti tambahan buat seorang penyerang sepertinya. Selepas mengalami kecederaan lutut yang memaksanya berehat panjang, Van Persie meledak 30 gol untuk Arsenal musim lalu sekaligus muncul penjaring terbanyak Liga Perdana. Penyerang antarabangsa Belanda itu diakui memiliki mental yang kuat jika diambilkira keupayaannya bangkit dari kecederaan jangka panjang untuk kembali mengegar musim lalu. Bukan mudah untuk mana-mana pemain yang terpaksa berehat panjang untuk kembali keprestasi terbaiknya dalam tempoh singkat seperti apa yang dilakukan Van Persie.

Keputusan meninggalkan Arsenal juga tentunya bukan satu keputusan yang mudah buat Van Persie selepas bersama skuad The Gunners selama lapan tahun. Reaksinya dapat dilihat selepas dia menjaringkan gol pembukaan pada pertemuan menentang bekas kelabnya itu, Sabtu lalu. Tiada langsung reaksi gembira diwajah Van Persie sebaik menjaringkan gol dan dia jelas begitu menghormati setiap individu yang berada di Arsenal selepas melalui tempoh menakjubkan selama lapan tahun di sana (Emirates).

Apa yang ditunjukkan Van Persie cukup berbeza jika dibandingkan dengan bekas-bekas pemain Arsenal yang lain terutamanya Emmanuel Adebayor dan Samir Nasri. Sepertimana Adebayor dan Nasri, Van Persie juga tidak terkecuali menerima cemuhan dan kecaman dari penyokong-penyokong Arsenal ketika dia mengumumkan mahu meninggalkan kelab itu. Akan tetapi sikap profesionalisme jelas terlihat dalam diri pemain itu yang cuba mengelak dari melakukan sebarang provokasi kepada peminat-peminat di sana yang pernah menyokongnya selama lapan tahun. Kelibat Van Persie sebenarnya turut mengingatkan kita kepada seorang lagi penyerang dari Belanda yang pernah bersama-sama The Red Devils, iaitu Ruud Van Nistelrooy. Nistelrooy muncul penyerang digeruni di Liga Perdana selepas menyertai United dari tahun 2001 hingga 2006 dan menghasilkan 95 gol dari 150 penampilannya.

 Sebagaimana Van Persie, Van Nistelrooy juga pernah berdepan masalah kecederaan lutut yang serius sebelum menyertai United. Bukan hanya disebabkan kedua-duanya berasal dari Belanda, tetapi Van Persie dan Van Nistelrooy juga mempunyai satu persamaan iaitu kedua-duanya memiliki kelas tersendiri dan sentuhan pemusnah tajam setiap kali menerima bola. Apa yang diharapkan selepas ini ialah Van Persie mampu mengekalkan prestasi terbaiknya bersama United dan disamping itu kita berharap kecederaan lutut serius yang pernah dialaminya ketika bersama Arsenal tidak berulang. Jika segalanya memihak kepada Van Persie, dan diiringi dengan sedikit tuah, pemain itu mampu muncul antara penyerang terbaik pernah disaksikan di Old Trafford, sama seperti rakan senegaranya, Van Nistelrooy. Glory Glory Manchester United!!! - A.J
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FACEBOOK

ARTIKEL POPULAR