Pemain United bergambar dalam bilik persalinan bersama Piala yang dimenangi.
Pada hari Ahad yang lalu, Manchester United merangkul piala pertama musim ini dan piala pertama bersama jurulatih baru, David Moyes. Mereka berjaya menjulang Piala Perisai Komuniti setelah berjaya menewaskan Wigan Atheletic, juara Piala FA musim lalu dengan keputusan 2-0 hasil jaringan penyerang berbisa, Robin Van Persie.
Kemenangan tersebut amat bermakna buat pemain dan juga seluruh staf kejurulatihan. Ini kerana mereka ingin membuktikan kepada penyokong mereka bahawa Moyes mampu menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan oleh Sir Alex dan perkara itu telah terbukti.
Pada perlawan ini juga, kemampuan pemain muda seperti Adnan Januzaj dan Zaha amat dikagumi oleh Moyes dan penyokong United. Gandingan mereka dengan pemain senior amat baik dan ini menjadi satu petanda baik bagi United kerana memiliki barisan pelapis yang mampu menguatkan skuad utama nanti.
Kemenangan itu juga sebenarnya telah menutup mulut beberapa pengkritik dan pengulas sukan yang meragui akan kemampuan Moyes dalam membimbing antara kelab terbaik di dunia ini.
Kemampuan Moyes sebenarnya akan teruji pada perlawanan pertama mereka di Liberty Stadium nanti. Ini kerana pada hari itu bermulalah liga perdana Inggeris dan jika kemenangan yang diperolehi, moral pemain dan penyokong akan kuat bagi menghadapi dua perlawanan penting selepas itu iaitu bertemu Chelsea dan Manchester City.
Kita lihat dulu kemampuan Moyes dan berikan dia peluang membuktikan kemampuannya sebelum kita menilai kemampuan beliau.
Apa yang pasti, skuad yang dimiliki Moyes sekarang ini mampu memberi saingan dan mengekalkan kejuaraan liga perdana Inggeris di bumi Old Trafford untuk musim ini.