We design a professional website for you in just 7 Days!

Followers

CHURP-CHURP

EZYTOPUP

Saturday, October 20, 2012

PIALA MALAYSIA 2012 MILIK KELANTAN


Dramatik dan mendebarkan. Itulah yang boleh digambarkan tentang perlawanan akhir Piala Malaysia yang baru sahaja melabuhkan tirainya dengan juara menjadi milik Kelantan apabila menewaskan ATM dengan keputusan 3-2. Gol Kelantan dijaringkan oleh Matyo 2 bijik, Indra sebijik manakala gol ATM dijaringkan oleh Rizal Zambree dan Marlon.

Indra menjaringkan gol kemenangan untuk Kelantan mejulang Piala Malaysia 2012

Kemenangan malam ini sememangnya manis kerana itu adalah kejuaraan ketiga buat Kelantan musim ini dan ini meletakkan Kelantan di tempat kedua selepas Kedah yang menjadi juara treble sebanyak 2 kali. Sebelum ini, Kelantan telah memenangi Piala F.A dan mempertahankan Liga Super Malaysia.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, saya ingin mulakan pada bahagian serangan. Sememangnya Matyo telah membuktikan bahawa dia adalah hero dalam diam apabila berjaya menjaringkan 2 gol dalam perlawanan tersebut dan ditabalkan sebagai pemain terbaik perlawanan. Dia menerima trofi dan wang berjumlah RM 1500.00. Ketiadaan Ghaddar seperti tidak diratapi apabila Matyo berjaya memainkan watak sebagai penyerang yang baik. Afiq pula perlu banyak belajar lagi jika ingin berjaya di dalam arena bola sepak negara. Ketinggian dan tandukan sudah ada cuma mungkin boleh ditingkatkan dari segi kawalan bola.

Bahagian tengah agak tenggelam ketika saingan awal separuh masa pertama dan ketika 15 minit terakhir masa tambahan kedua. Piya membuktikan dia adalah pemain tengah terbaik negara apabila membuat hantaran bagi ketiga-tiga gol malam ini. Dia bijak membuat hantaran dan membuka peluang kepada Matyo dan Indra untuk menjaringkan gol. Bahagian tengah pada malam ini juga kerap kehilangan bola dan beberapa pemain seperti Nurul tenggelam dan seperti tidak wujud dalam perlawanan tersebut. Syakir pula seperti bukan bermain bola sebaliknya asyik melakukan kekasaran kepada pemain lawan.

Bahagian pertahanan sememangnya A bagi saya. Walaupun melepaskan 2 gol tapi mereka telah menunjukkan semangat yang mengagumkan. Obinna merupakan watak penting bahagian pertahanan apabila berjaya mengawal Marlon dengan baik. Dia juga banyak membantu setiap bahagian pertahanan dan dia adalah pertahanan terbaik Kelantan. Subra pula terpaksa membayar dengan harga yang mahal pada perlawanan ini apabila terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan luntunt yang mungkin memaksanya berehat panjang. Pemain muda yang sedang meningkat naik, Nik Shahrul membuktikan dia sememangnya layak mengisi kesebelasan utama malam ini apabila berjaya mengekang asakan dua sayap berbisa ATM.

Keeper kita, Apek sehebat statusnya sebagai keeper kebangsaan apabila beraksi cemerlang menggagalkan beberapa percubaan berbahaya ATM. Walaupun melepaskan 2 gol tapi dia telah menyelamatkan Kelantan dari dibolosi dengan lebih dari 2 gol apabila berjaya menggagalkan beberapa percubaan pemain ATM.

Dengan tamatnya Piala Malaysia malam ini maka berakhirlah semua kejohanan bola sepak negara. Pemain-pemain sudah boleh berehat panjang dan memikirkan musim 2013 yang akan diadakan bermula bulan Januari tahun depan. Pemain yang berbakat pula akan dipanggil mewakili Malaysia bagi kejohanan Piala AFF Suzuki yang akan diadakan pada bulan hadapan.

Sekalung tahniah saya ucapkan kepada pemain Kelantan dan penyokong Kelantan yang bersemangat tidak kira panas atau hujan, sanggup bermain bersungguh-sungguh dan menyokong dengan penuh semangat untuk mencapai kemenangan.

Sekian saja dari saya untuk musim 2012 ini. Kita jumpa di bulan Januari 2013 pula.

Gomo Kelate Gomo.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FACEBOOK

ARTIKEL POPULAR